Oleh MAT ZAIN MAT ISA, Harakah
"Pemberian ini bukan bertujuan memancing undi. Ia telah lama diluluskan, cuma kebetulan diumumkan ketika ini (sewaktu kempen Pilihan raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu)," begitulah lebih kurang hujah 'loyar buruk' beberapa pemimpin BN.
Jika anda seorang yang mengikuti dan mengamati perkembangan kempen pilihan raya kecil itu yang baru berakhir Sabtu lalu, tidak munasabah anda terlepas dari mendengar atau membaca ungkapan itu.
Ia pertama kali disebut calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh, lebih seminggu sebelum proses penamaan calon.
Beliau mengulas pengumuman peruntukan RM6.1 juta untuk kaum Cina Kuala Terengganu oleh Menteri Besar, Dato' Ahmad Said.
Peruntukan itu tidak termasuk sejumlah lagi untuk beberapa persatuan agama, persatuan ibu bapa dan guru sekolah Cina serta bantuan dana khas sempena Tahun Baru Cina.
Meskipun menganggap bantuan itu tanggungjawab kerajaan untuk rakyat, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali, menilainya ada tujuan politik.
Ekoran kenyataan itulah Wan Farid, yang sebelumnya telah diisytiharkan bakal calon BN, menafikan pemberian itu bermotif politik.
Beliau malah mendakwa peruntukan tersebut telahpun diluluskan sewaktu Allahyarham Dato' Razali Ismail masih hidup.
Ia hanya "kebetulan" tidak sempat disempurnakan Razali.
Hujah serupa dipinjam Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, ketika mengulas bidasan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang menyifatkan beberapa projek segera dilaksanakan BN dalam kawasan pilihan raya adalah rasuah politik.
Di antara projek segera dimaksudkan ialah pembinaan jalan raya dan jambatan di beberapa kampung di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Seperti Wan Farid, Muhammad selaku menteri berkenaan juga mendakwa peruntukan bagi projek-projek tersebut telah lama diluluskan kementeriannya.
Cuma "kebetulan" ia dilaksanakan ketika kempen pilihan raya berlangsung.
Bertolak dari situ, "kebetulan" demi "kebetulan" datang silih berganti ke Kuala Terengganu.
Hampir tiada kementerian, jabatan kerajaan, agensi mahu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang condong kepada BN yang tidak terlibat sepanjang lebih sepuluh hari kempen itu.
Secara "kebetulan" semua mereka sudah lama merancang program masing-masing di Kuala Terengganu barangkali?
Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ketua Puteri Umno turun ke Kuala Terengganu menyampaikan cek Socso.
Muhammad membahagikan beg dan pakaian sekolah untuk kanak-kanak Tadika Kemas.
Menteri Pengajian Tinggi buat program kerjaya di sebuah politeknik di pusat bandaraya itu.
Peletakan batu asas Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah bernilai RM115 juta juga "kebetulan" berlaku di saat itu.
Begitu juga pelancaran Tabung Kecemasan dan Kebajikan Nelayan dengan peruntukan RM1 juta.
Pengumuman pakej RM900 juta untuk kontraktor kelas F dan pengundian projek infrastruktur juga dibuat di Kuala Terengganu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk membina 1,000 rumah kos rendah di Padang Hiliran.
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pun saat itu jugalah bermurah hati menyampaikan set tenunan kepada lebih 200 penenun songket di Terengganu.
Waktu itulah juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyampaikan cek bantuan modal ratusan ribu ringgit untuk pengusaha industri batek, keropok lekor dan tembaga.
Jadual lawatan Menteri Pertanian membahagikan bungkusan kueh kepada pengunjung Pasar Tani Padang Hiliran pun "kebetulan" jatuh pada minggu itu.
Apa lagi? Nak tukar nama sekolah menengah dan institut pendidikan guru kepada nama Datuk Razali, nak rasmikan UDM Kampus Kota juga ketika itulah.
Nak bertemu pelanggan TNB pun Ketua Pegawai Eksekutif turut hadir.
Gotong royong RELA cuci sampah juga melibatkan kehadiran Ketua Pengarahnya.
Ahh!! Boleh termuntah rasanya jika disenaraikan kesemua puluhan program "kebetulan" sebegitu.
Apa BN ingat rakyat Kuala Terengganu bodoh sangat sehingga tidak dapat memikirkan itu semua?
Akhirnya, terbukti hujah 'loyar buruk' BN itu tidak lagi dapat menipu rakyat.
Segala 'umpan' ditabur gagal menyantau pengundi Kuala Terengganu.
Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut merampas kerusi dari tangan BN dengan kemenangan bergaya 2,631 undi majoriti, 17 Januari lalu.
Friday, January 23, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)